26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Beri peruntukan CDF kepada wakil rakyat tanpa syarat

Mesti Baca

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan untuk memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada wakil rakyat tanpa syarat dan berat sebelah.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam kenyataan, memaklumkan sehingga kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memberikan peruntukan itu kepada Ahli-Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, atas sebab itu beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Gua Musang, dan terbaru Ahli Parlimen Jeli mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Anwar dan Kerajaan Persekutuan atas alasan keperluan mendapatkan peruntukan di kawasan mereka.

“Penahanan peruntukan CDF untuk turun kepada Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) adalah sesuatu yang tidak adil yang diamalkan oleh Kerajaan Madani kerana peruntukan terbabit diberikan kepada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

“BERSIH tidak setuju peruntukan CDF untuk Ahli Parlimen pembangkang diikatkan dengan syarat-syarat tertentu kerana peruntukan ini patut diberi sebagai hak Ahli Parlimen tanpa mengira parti,” katanya.

Katanya, Ahli Parlimen PN juga dipilih oleh rakyat dan kerajaan Madani perlu menghormati pilihan pengundi kawasan pembangkang dan tidak menggunakan peruntukan sebagai cip tawar-menawar untuk menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

“Semua Ahli Parlimen PN yang menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Persekutuan menunjukkan realiti malang politik di Malaysia ketika ini.

Advertisements

“Mereka yang sehaluan dengan kerajaan mendapat wang awam dan sebaliknya mereka yang tidak menyokong kerajaan akan dihukum dengan ditahan peruntukan terbabit.

“Amalan tidak adil itu yang bermula di zaman Barisan Nasional (BN) dan disambung zaman PN sudah dibantah selama ini dan dijanji penghapusannya oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Katanya, BERSIH menyeru Kerajaan Madani dan PN menjalinkan perjanjian persefahaman (MoU) untuk reformasi institusi yang menjanjikan kestabilan politik dan gelanggang permainan yang rata untuk semua pihak, sebagaimana yang berlaku antara kerajaan Keluarga Malaysia dan PH pada 13 September 2021.

“Perkara itu akan membolehkan kerajaan dan pembangkang bekerjasama dan bersaing secara profesional dalam mengatasi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

“MoU boleh merangkumi pelbagai items reformasi, selain pengkanunan CDF setara untuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), juga pendanaan awam untuk semua parti mengikut peratusan undi, pengiktirafan kabinet bayangan, pendalaman (deepening) reformasi Parlimen, Akta Parlimen Berpenggal Tetap, serta pemisahan Badan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Katanya, jika kerajaan dan PN keberatan untuk mengambil langkah pertama untuk menggerak perundingan MoU, kedua-dua pihak boleh meminta bantuan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaffar yang bertanggungjawab mengotakan kebanyakan reformasi institusi dalam MoU 2021-2022, dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai orang tengah jujur untuk membawa perdamaian demi kepentingan seluruh rakyat negara ini. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Peranan, tanggungjawab Maritim Malaysia diiktiraf dunia

PERANAN serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia. Ini dibuktikan apabila Maritim...

Lagi Artikel Berkaitan