27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 9, 2024

Bersih buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid

Mesti Baca

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), membuat laporan polis berhubung ucapan didakwa berbaur sogokan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena program lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR), Melana Indah Fasa 1, Ahad lalu.

Pengerusi Bersih, Thomas Fan berkata, ucapan Presiden UMNO itu dilihat seperti cuba mempengaruhi pengundi khususnya di Parlimen Pulai apabila mengatakan projek penambahbaikan PPR terbabit akan diteliti dan diluluskan dengan syarat calon Pakatan Harapan (PH), perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK), Pulai.

Katanya, sekiranya calon PH tidak menang pada PRK kali ini, permohonan daripada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berhubung penambahbaikan berkenaan akan ‘ditengok’ (teliti) semula.

“Kami memutuskan untuk membuka laporan polis susulan ucapan Zahid dan berpandangan perkara ini perlu disiasat kerana bercanggah dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 9 Pengaruh Tidak Wajar dan Seksyen 10 Penyogokan.

“Kami mahu polis siasat perkara ini kerana ia satu pengaruh yang tak wajar apabila menggunakan pengaruhnya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk pengaruh pengundi bagi mengundi calon PH.

Advertisements

“Kami juga dapati mungkin ada elemen rasuah dalam perkara ini. Kami buat laporan polis supaya polis segera menyiasat perkara ini dengan peguam negara yang baharu,” katanya.

Thomas berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera mengawal kelakuan anggota kabinet dengan Garis Panduan Kerajaan Sementara dan Bukan Sementara agar sumber dan jentera kerajaan tidak disalahgunakan oleh Menteri untuk berkempen.

“Apa yang dilakukan oleh  Ahmad Zahid bukanlah pertama kali diucapkan.

“Sebelum ini ucapan yang hampir sama jug dibuat semasa kempen pilihan raya negeri di Kuala Terengganu baru-baru,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Visa Perubatan: Imigresen beri kerjasama penuh siasatan EAIC

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke...

Lagi Artikel Berkaitan