KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Mohamad Akmal Saleh membidas kembali kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berhubung tindakannya mengugut membatalkan lesen pengilang beras jika enggan membekalkan beras tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada menjaga kepentingan tauke-tauke besar dalam rantaian pembekalan hasil padi negara.
Ujar Dr. Mohamad Akmal, sudah menjadi tanggungjawab mana-mana pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat terutama ketika menghadapi situasi kekurangan beras putih tempatan ketika ini.
“Kalau tidak tahu apa isu sebenar dan keperitan rakyat di bawah lebih baik diam daripada bercakap nampak sangat kurang cerdiknya.
“Tanggungjawab saya menjaga kepentingan rakyat, bukan menjaga kepentingan tauke besar! Saya tidak peduli,” tegasnya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Lian Ker menyelar tindakan Dr. Mohamad Akmal kerana membuat ugutan membatalkan lesen pengilang sekiranya tidak mahu menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
Lian Ker menerusi perkongsian di Facebook menyifatkan tindakan dilakukan ADUN Merlimau itu sebagai sesuatu yang jelek dan tidak wajar.
Exco Kerajaan Negeri Melaka itu pada Isnin lalu menerusi media sosial berkongsi video di mana beliau memeriksa bekalan beras putih tempatan di dua kilang.
Tindakan tersebut diambila bagi memastikan pengilang mematuhi arahan kerajaan dan mengeluarkan kampit beras yang mencukupi kepada penjual sekali gus dapat dinikmati rakyat. – Edisi 9