26 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JPJ sita 45 motosikal, 450 saman atas pelbagai kesalahan

Mesti Baca

SEBANYAK 45 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Motosikal yang dilakukan di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) awal pagi tadi.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi bermula pada 1 pagi hingga 6.30 pagi itu turut mengeluarkan 450 notis saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau berkata, operasi dijalankan di kawasan itu selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan kegiatan lumba haram.

“Motosikal yang kita (JPJ) sita dan keluarkan saman kebanyakannya milik kalangan mat rempit. Antara kesalahan dilakukan ialah ubah suai motosikal sehingga berbahaya kerana telah kurangkan tahap keselamatan motosikal seperti pengubahsuaian ekzos, tiada brek belakang dan penggunaan tayar ‘sotong’ semata-mata meningkatkan kapasiti kelajuan,”katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Menurut Lokman, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang terlibat dalam lumba haram itu berusia 15 hingga 30 tahun malah ada dalam kalangan mereka sanggup berbelanja RM1,000 hingga RM5,000 untuk mengubah suai motosikal.

Advertisements

Beliau berkata, operasi itu bukan bertujuan menghukum sebaliknya bagi memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya khusus dalam kalangan penunggang motosikal.

Dalam operasi sama, seorang gadis turut merayu kepada pihak JPJ agar tidak menyita motosikal Yamaha Y15 milik teman lelakinya yang ditunggangnya tanpa lesen, kerana dia menunggang motosikal tersebut tanpa pengetahuan lelaki itu yang sedang menghadiri acara permotoran di Terengganu.

“Gadis tersebut yang bekerja sebagai jurujual, menaiki motosikal itu bersama rakannya dari Sungai Petani, Kedah ke Butterworth untuk makan di kawasan tersebut.

“Selain motosikal disita, gadis berusia 19 tahun tersebut turut dikenakan empat notis saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, tiada insurans selain mengubah suai motosikal secara keterlaluan,”katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan