SINDIKET perjudian dalam talian tumpas apabila polis memberkas 12 lelaki dalam serbuan berasingan yang dilakukan di dua premis di sekitar di Lembah Klang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tangkapan tersebut melibatkan enam lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing berusia 19 tahun hingga 37 tahun.
“Turut dirampas empat buah komputer, lima komputer riba pelbagai jenama, 19 telefon bimbit, sebuah iPad, tiga keping pasport, dua modem router dan satu kad akses berserta kunci rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati adanya unsur mempromosikan perjudian dalam talian dengan menggunakan laman sesawang.
“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari negara Bangladesh dan kesemua suspek berperanan sebagai penyelia dan pegawai khidmat pelanggan,”katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kesemua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan / 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,”katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau balai polis berhampiran. – Edisi 9