PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali enggan mengulas sebarang kenyataan mengenai dakwaan dikatakan dia sudah bertunang dengan seorang ahli perniagaan, baru-baru ini.
Pemilik sebenar nama Nur Nabila Mohd Razali, 30, itu berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman mengenai status dirinya.
“Harap hormati privasi saya. Sekiranya sudah bersedia untuk berkongsi, Insya-Allah saya akan umumkan.
“Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua termasuk media atas perhatian untuk mengetahui mengenai perkembangan peribadi saya,” katanya ketika ditemui pada malam konsert Karnival Mega Suria 2023 di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi.
Pada karnival itu, Nabila menghiburkan penonton dengan mendendangkan tiga lagu iaitu Vroom Vroom, Pematah Hati dan Peluang kedua.
Mengulas mengenai cincin di jarinya, Nabila berkata, ia sekadar aksesori yang sering digayakannya setiap kali pergi ke mana-mana acara.
“Saya memang suka pakai aksesori ke mana-mana saya pergi. Kadang saya tukar pakai pada jari yang berbeza, ini minat saya dan harap tidak ada yang mempersoalkan.
“Saya minta semua pihak hormati keputusan saya ini. Andai sudah bersedia saya akan umumkan perkara yang penting dalam hidup saya nanti.
“Bilakah itu belum tahu lagi, tetapi untuk masa sekarang saya terlalu sibuk dengan jadual kerja yang sentiasa padat.
“Buat masa ini saya tidak mahu mengulas sebarang isu dan soal sedang menjalin hubungan dengan seseorang juga biarla buat masa ini saya tidak memberi apa-apa ulasan.
“Saya berkawan dengan ramai orang. Tetapi saya tidak fikir ini adalah isu yang perlu diperbesarkan. Seperti sebelum ini, ada sahaja saya berkawan, tetapi kali ini pula orang tertanya-tanya,” katanya lagi.
Baru-baru ini, media melaporkan Nabila melangsungkan pertunangan pada sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat. -Edisi 9