26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Bertam Resort and Water Park labur RM7 juta bina 16 vila mewah

Mesti Baca

TAMAN tema air dan resort lima bintang bertemakan Maghribi, Bertam Resort and Water Park melaburkan RM7 juta bagi pembinaan 16 unit vila mewah sebagai segmen tarikan terbaharu mereka.

Pusat tarikan pelancong bernilai RM90 juta yang dibina di atas tanah seluas lapan hektar dan dimiliki serta diuruskan oleh Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd itu mula beroperasi pada Disember tahun lalu bagi taman tema dan seterusnya pembukaan resort pada Mac lalu.

Pengarah Urusan Maritime Waterfront Sdn Bhd, Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu berkata, penambahan segmen baharu vila mewah itu adalah susulan daripada sambutan baik pengunjung ke kawasan berkenaan.

“Resort ini terbengkalai lebih 13 tahun lamanya dan kami ambil alih pada 2019 bagi menjalankan pembinaan fasa pertama taman tema manakala fasa kedua membabitkan resort dilengkapi 300 bilik pelbagai pilihan dengan kos keseluruhannya RM90 juta.

“Oleh itu, kami merancang untuk meneruskan fasa ketiga iaitu vila mewah yang akan mula dibina bulan depan dan dijangka siap dalam masa enam bulan hingga sembilan bulan.

“Vila ini berkonsep mewah sepenuhnya kerana sasaran kami adalah untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Bertam Resort and Water Park oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang hadir bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Noor serta Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Mohamed Iqbal berkata pihaknya menerima purata 15,000 pengunjung setiap bulan sejak dibuka dengan tempahan bilik hotel mendapat permintaan tinggi daripada kalangan pengunjung dalam negara dan asing.

Katanya, tempahan bilik berkenaan juga penuh sehingga Disember ini.

“Kami menawarkan pelbagai jenis bilik pada harga RM390 hingga RM5,000. Bilik paling mahal adalah “pool suite” yang dilengkapi kolam renang sepanjang 15 meter dan kami juga baru-baru ini menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records bagi kategori kolam renang terpanjang dalam suite di Malaysia,” katanya.

Mohamed Iqbal berkata pihaknya menawarkan sebanyak lima bilik jenis “pool suite” yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, dari segi tarikan utama Bertam Resort and Water Park menjadi tumpuan berikutan suntikan suasana negara yang terdapat di setiap sudut bangunan dengan kebanyakan bahan khususnya lampu yang diimport dari negara Maghribi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan