KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) menyasarkan ekonomi digital dapat menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ekonomi digital kini telah menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK.
“Menjelang 2025, kita jangka sektor ini dapat capai sumbangan KDNK sebanyak 25.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Belanjawan 2024: Sesi Town Hall Ekonomi Digital bersama agensi dan pemain industri sektor hari ini.
Fahmi berkata, sepanjang beliau menerajui KKD, Kementerian dan agensi telah berjaya membawa masuk pelaburan sebanyak RM28.4 bilion pada setengah tahun pertama 2023.
“Ini merupakan lonjakan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Dalam kita merancakkan lagi sektor ini, saya memberi penekanan tegas bahawa Kerajaan sangat menitikberatkan the supply side iaitu bakat-bakat digital tempatan. Ini sangat penting.
“Alhamdulillah sesi tadi berjalan baik dan menjadi ruang untuk saya mendapatkan lebih banyak input daripada pemain industri sekaligus memperkasa ekonomi digital Malaysia,” katanya. – Edisi 9