NIAT seorang lelaki warga emas membantu menyelamatkan dua rakannya yang terperangkap air pasang bertukar tragedi apabila dia lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Haudi Sujai, 63, dari Taman Setia Balakong di Seri Kembangan, Selangor datang ke pantai itu untuk memancing bersama tujuh rakannya sejak pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati pada jam 4 pagi tadi, dua rakan mangsa berjalan kaki ke arah pantai Pulau Masjid, di sini untuk memancing, sebelum terperangkap dan hampir lemas apabila air laut mulai pasang kira-kira jam 11 pagi.
“Mangsa cuba membantu, namun malangnya dihanyutkan air deras, manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang kampung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Arshad berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba dengan bantuan orang kampung sebaik menerima laporan kejadian itu.
“Sekitar jam 3 petang mangsa ditemui terapung tidak jauh dari lokasi sebelum dibawa ke pantai dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya. -Edisi 9