26.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 14, 2024

Akta Tatakelola Sektor Awam, Pelan Integriti akan diperkenalkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AKTA Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan antara empat pokok utama sebagai iltizam kerajaan untuk melaksanakan islah dalam perkhidmatan awam.

“Kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa serta mengangkat darjatnya menjadi negara yang bermaruah dan antirasuah.

“Ini dengan memperkenalkan dua anjakan utama, yakni Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi, dan Perundangan Berkaitan Rasuah,”katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan juga telah menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.

Dalam pada itu, katanya, selain daripada penambahbaikan aspek perundangan dan penguatkuasaan, kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan
akhlak dalam diri setiap warganegara.

Advertisements

“Justeru, pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang harus dikembangkan pada semua peringkat usia.

“Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa,”katanya.

Katanya lagi, bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Sehingga kini, STAR telah berjaya melaksanakan projek rintis mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu pesakit di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor dan akan diperluas kepada hospital lain.

“Selain itu, tempoh kelulusan pas ekspatriat telah dikurangkan daripada 87 hari kepada hanya lima hari untuk syarikat yang memenuhi kriteria, manakala kaedah pembayaran tanpa tunai bagi menangani rasuah akan diperluas,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai...

Lagi Artikel Berkaitan