KERAJAAN perlu fokus untuk memulihkan ekonomi negara dan mempercepatkan reformasi institusi-institusi.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata, Kerangka Ekonomi Madani, Peta Jalan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Industri Baru 2030 (NIMP) adalah rancangan yang baik tetapi pelaksanaannya memerlukan tata kelola yang baik, dengan mengamalkan ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti adalah faktor-faktor kepada kejayaan.
“Kerajaan mesti mempercepatkan reformasi institusi dan menunaikan janji-janji yang telah ditabur.
“Apa yang saya lihat ada beberapa pembaharuan yang memerlukan perhatian segera. Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi mendorong pemberi maklumat dan warga negara
dan pekerja agar berani melaporkan perbuatan yang salah.
“Kerajaan perlu meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen dan meningkatkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengukuhkan usaha memerangi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Dr Muhammad berkata, antara lain meluluskan Akta Pembiayaan Politik untuk menjadikan parti politik dan ahli politik sentiasa bertanggungjawab dalam memastikan ketelusan mengenai dana dan mencegah penyelewengan, rasuah, penipuan atau penyalahgunaan kuasa juga perlu disegerakan.
“Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga perlu diambil kira.
“Ada juga suara-suara dari beberapa pimpinan politik yang mahukan Perdana Menteri mengundurkan diri. Namun, TI-M berpendapat mesej sebegini boleh mendatangkan tanggapan negatif kepada orang ramai dan masyarakat antarabangsa.
“Apa yang Malaysia perlukan ialah kestabilan politik bagi menarik pelaburan asing ke Malaysia supaya kerajaan dapat membangkitkan ekonomi negara ke arah yang lebih baik.
“Mereka yang dahagakan kuasa harus menunggu pilihan raya umum berikutnya pada tahun 2027, untuk melihat apakah rakyat mahu kerajaan baru dipilih,” katanya lagi.
Beliau berkata, semua juga perlu jelas bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan persekutuan.
“Kepada mereka yang ada niat ke arah ‘Langkah Sheraton’ iaitu pemerintahan pintu belakang (jika ada pemikiran ke arah ini) perlu menghentikannya.
“Ia adalah satu langkah yang sia-sia dan tidak diperlukan. Apa yang perlu adalah fokus untuk bekerja bersama bagi membina semula negara,” katanya.-Edisi 9