29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kelebihan intelektual diangkat, dikongsi menerusi Debat Madani

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh MOHAMED KHALED NORDIN

MALAYSIA MADANI adalah satu gagasan besar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gagasan ini diunjurkan sebagai satu etos nasional, yang bersandar pada enam prinsip utama.

Prinsip-prinsip ini disusun sebagai asas kepada sebuah sistem nilai yang harus memimpin Malaysia secara rapat dan tegas dalam menguruskan negara ini dan memeta masa depannya.

Harapan kita, Malaysia bertumbuh menjadi sebuah negara yang matang, sarat dengan nilai-nilai unggul dan dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar dan perbezaan.

Kita mahu menampilkan kepada semua bahawa kerencaman identiti dari segi leluhur bangsa, pecahan etnik mahupun pegangan agama, bukanlah satu masalah.

Sebaliknya, semua itu adalah kekuatan yang mesti diraikan dan dilonjakkan potensinya.

Kerajaan Perpaduan bukan sahaja sebuah kerajaan yang sederhana tetapi sebuah kerajaan yang menerima hakikat bahawa apa-apa sahaja gagasan yang kita perkenal dan usahakan, mestilah bersifat dinamik dan memerlukan kefahaman serta penerimaan yang baik oleh masyarakat.

Justeru, Debat Perdana MADANI adalah salah satu cara dan pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyumbang dalam menjayakan Malaysia MADANI.

Secara asasnya, terdapat beberapa dimensi penting yang menjadi penegasan kita dalam menganjurkan Debat Perdana MADANI ini.

Pertama, Malaysia MADANI bukan sahaja tentang sistem nilai yang unggul atau idea besar. Lebih utama, ini adalah satu seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanahair.

Prof Dr Recep Senturk (tengah) dari Universiti Hamad bin Khalifa, Turkiye antara ahli panel yang tampil dalam Debat Perdana Madani 2023 di UKM baru-baru ini. – Foto: Facebook

Sebagai sebuah Kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan watan, Debat Perdana MADANI ini adalah saluran untuk segala kelebihan intelektual diangkat dan dikongsikan dengan negara.

Kita mahu menggembleng segala kekuatan dan kelebihan dari segi idea dan pemikiran besar, untuk disumbangkan kepada usaha membawa kesejahteraan tanahair.

Advertisements

Bagi pihak KPT, Debat Perdana MADANI ini adalah sebuah projek untuk negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea dan buah pandangan.

Kerana tanpa idea dan buah pandangan yang pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara yang akan berjaya.

Kedua, Debat Perdana MADANI adalah pentas kita memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI.

Malaysia MADANI adalah gagasan besar yang bersifat etos nasional tetapi untuk sesebuah gagasan besar itu berjaya dan mencapai matlamat murninya, kita mesti mengisi gagasan tersebut dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.

Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara yang berkesan, akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong.

Saya yakin, setelah mendengar syarahan daripada semua tokoh yang dijemput, kita berpeluang melihat dengan lebih jelas apakah kelebihan Malaysia MADANI sebagai sebuah gagasan negara.

Malah kita akan dapat meneliti secara objektif apakah kekurangan dan lakuna yang ada, yang mesti diperbetul dan diperkukuh secara berlapang dada.

Yang ketiga dan terakhir, saya memberi jaminan bahawa segala pengamatan serta perspektif yang dikongsikan oleh semua panel yang bijaksana hari ini, bukan sahaja sangat kita hargai, tetapi akan diberikan perhatian serius.

Ini kerana debat Perdana MADANI ini menghimpunkan minda-minda besar. Mereka adalah tokoh yang dihormati, yang kaya dengan ilmu dan pengalaman.

Pentas Debat Perdana MADANI ini mengumpulkan tokoh-tokoh ulung kerana kita mahu memastikan idea-idea besar berkenaan Malaysia MADANI diuji dan dibahaskan secara terbuka dan kritikal.

Sekali pun kita semua jelas dengan nilai dan pendirian yang membentuk gagasan Malaysia MADANI, kita sebenarnya masih sangat memerlukan pandangan, kritikan serta saranan dari golongan bijak pandai.

Sebab itu pentas ini dibuka seluas-luasnya. Ia adalah ruang dan peluang kita mengutip segala nilai tambah yang ampuh dalam menjayakan Malaysia MADANI.

Insya-Allah, Debat Perdana MADANI ini akan terus kita angkat sebagai jalan penting dalam menjayakan gagasan besar negara.


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia. Program sulu Debat Madani 2023 dilancarkan pada 21 Ogos lalu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan