26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Gurauan bom: Penghantar makanan dipenjara sehari, denda RM4,000

Mesti Baca

GARA-GARA bergurau, seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat panggilan bom palsu.

Majistret S. Punitha yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Mohammad Nasriq Samsudin, 38, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Dia didakwa menakutkan mangsa dengan cara menyembunyikan namanya, membuat panggilan kepada Ahmad Farid Asorudin, 38, menyatakan terdapat bom akan meletup di Aeon Mall Klebang, Chemor.

Lelaki itu melakukan kesalahan itu di tingkat satu, Pejabat Pengurusan Aeon Mall Klebang, kira-kira pukul 4.15 petang, 23 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Advertisements

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah.

Menjawab pertanyaan Punitha mengapa ugutan tersebut dibuat, Mohammad Nasriq memberitahu panggilan itu adalah sekadar untuk bergurau tanpa menyedari ia adalah satu kesalahan.

Terdahulu, Siti Hajar dalam rayuan memohon agar mahkamah memberikan hukuman minimum kepada anak guamnya memandangkan dia bekerja secara sambilan dan memperoleh pendapatan secara harian bagi menyara diri.

Bagaimanapun, Muhammad Fahmi memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran kepadanya bahawa ugutan sedemikian bukanlah perkara yang dipermainkan kerana boleh menyebabkan kecemasan dan kegusaran kepada orang awam. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan