PENYERANG lagenda, Karim Benzema menjaringkan gol pertamanya di kancah saingan Liga Pro Saudi (SPL) ketika membantu Al-Ittihad menewaskan Al-Riyadh 4-0 di Stadium Putera Faisal bin Fadh, awal pagi tadi.
Bekas penyerang Real Madrid yang menyertai kelab Arab Saudi itu pada musim panas ini meledak gol sulung pada minit ke-17 menerusi sepakan dari dalam kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Martin Campagna.
Pemain tengah Maghribi, Abderrazak Hamdallah menggandakan jaringan Al-Itithad menerusi sepakan penalti sebelum menambah gol ketiga pelawat pada waktu kecederaan babak pertama.
Saleh Al-Amri yang masuk sebagai pemain gantian melengkapkan kemenangan bergaya Al-Ittihad menerusi jaringan keempat pada minit ke-93.
Tiga mata penuh yang dikutip menyaksikan Al-Ittihad kekal di tangga teratas liga di depan Al-Ahli dengan dibezakan menerusi perbezaan jaringan.
Kemenangan itu juga secara tidak langsung menafikan khabar angin kononnya terdapat perselisihan faham antara Benzema dan pengurus, Nuno Esprito Santo.
Santo sebelum ini dilapor memaklumkan kepada ahli lembaga pengarah kelab bahawa Benzema tidak serasi dengan corak permainan yang diterapkannya.
Ini sekali gus menerbitkan khabar bahawa Benzema tidak selesa di Al-Ittihad dan mungkin meninggalkan kelab dalam masa terdekat.
Al-Ittihad bagaimanapun semalam menafikan khabar tersebut menerusi satu video dengan tajuk ‘KB9 (Karim Benzema) sentiasa gembira’. – Edisi 9