{KEPUTUSAN RASMI}ANAK perempuan Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani secara rasmi telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.
Beliau berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Yahya Mat Sahri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang itu menang dengan memperolehi majoriti 1,728 undi selepas mendapat undi 12,850 manakala Mohd. Yahya memperoleh sebanyak 11,122 undi.
Kemenangan itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang, Tirmidzy Che Mat di Institut Pengurusan Peladang, Sungai Kajang Tanjong Karang, malam ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).
Sementara, percubaan pertama dalam dunia politik, menyaksikan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman @Altimet menang dengan majoriti 6,678 dan mendapat undi sebanyak 26,298 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
Komposer terkenal itu mengalahkan pesaing dari Perikatan Nasional (PN) Sharifah Haslizah Syed Ariffin yang mendapat undi sebanyak 19,620. – Edisi 9

