DATUK Seri Amirudin Shari memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar Selangor secara rasmi hari ini selepas dilantik menjawat jawatan itu, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu tiba di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 7.58 pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim serta kakitangan pentadbiran Pejabat Menteri Besar.
Amirudin mengimbas cap jari dan kad pada perakam masa tepat pada pukul 8 pagi di Pejabat Menteri Besar di tingkat 21 bangunan tersebut.
Menteri Besar ke-17 Selangor itu kemudiannya menghadiri majlis perhimpunan penjawat awam Selangor dan pelancaran kempen Jalur Gemilang peringkat negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan berkenaan.
Amirudin menerusi Facebook selepas mengimbas cap cari berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas doa yang dititipkan untuknya.
“Hari pertama di pejabat, penggal kedua. Terima kasih semua atas doa dan sokongan.
“Amanah ini akan saya galas dengan sepenuh komitmen untuk melaksanakan ikhtiar demi manfaat seluruh rakyat yang mendiami Negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya. – Edisi 9