33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ahmad Zahid yakin sokongan terhadap BN boleh dibina semula

Mesti Baca

SOKONGAN rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) boleh dibina semula dan ia memerlukan gabungan parti itu bergerak lebih agresif lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyedari penolakan besar rakyat terhadap parti itu dan berharap gabungan parti akan bergerak lebih agresif membina semula keyakinan mereka.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, bukan suatu yang mustahil untuk BN kembali diyakini rakyat, memandangkan situasi begitu dianggap lumrah biasa dalam politik.

“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula untuk mendapatkan dokongan rakyat.

“Penolakan ini memberi landskap yang tidak sihat kepada negara. Sokongan kepada BN yang merudum pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dibina semula,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembinaan bangunan baharu MIC di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M Saravanan.

Ahmad Zahid berkata, gabungan BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan di antara satu sama lain dalam usaha membina semula sokongan rakyat kepada BN.

“Jangan ada agenda meminggirkan antara satu sama lain. Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam Friends of BN.

Advertisements

“Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap jalan terbaik untuk memulihkan semula imej gabungan itu, disamping memerlukan komitmen tinggi parti komponen di semua peringkat.

“Saya yakin BN akan naik semula selepas cabaran ini kita hadapi dan dapat diatasi. Apa yang terbaik adalah rangkaian kerjasama kita dalam PH.

“Kombinasi kita dengan PH walaupun belum menampakkan keyakinan yang baik, namun tempoh ini baru sembilan bulan bagi BN dan rakan-rakan dalam PH untuk bina semula sokongan.

“Komitmen bukan hanya diperlukan dari kepimpinan atasan, tapi di semua peringkat tidak kira nasional, negeri, Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) wajib kita susun semula dan kembalikan keyakinan ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembinaan bangunan baharu MIC, Ahmad Zahid berkata, ia adalah satu manifestasi kesungguhan dan komitmen MIC untuk terus mara serta berdiri megah sebagai salah satu parti politik yang komited berjuang membela nasib masyarakat India di Malaysia.

“Keberadaan mercu tanda baharu ini akan memberi manfaat yang besar kepada semua komponen BN dan menjadi kebangkitan baharu BN khususnya di peringkat jentera serta akar umbi.

“Saya doakan semoga semua usaha ini akan menjadi titik cemerlang untuk membangun masa depan yang akan menjadi sumber kebanggaan dan kesejahteraan kepada kita semua,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

8000 pelari sertai Twincity Marathon 2024 

TWINCITY Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya. Twincity Marathon, sebuah acara...

Lagi Artikel Berkaitan