25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Sultan Selangor titah henti berpolitik, bangkitkan semula negeri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“CUKUP-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar. Bangunlah ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita,” titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah sedemikian bagi mengingatkan ahli-ahli politik agar memberikan fokus kepada masa depan negeri dan negara serta rakyat.

Titah Sultan Selangor, menjadi impiannya agar Selangor bangkit semula dalam pelbagai aspek seperti pada zaman kegemilangannya dahulu bagi memberi keselesaan kepada rakyat.

“Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu.

“Usia beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian beta, agar sebelum beta menutup mata dan dijemput Ilahi, beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran yang berpanjangan,” titah baginda.

Advertisements

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Dalam titah yang sama, Baginda turut mengingatkan agar ahli politik sentiasa menjaga integriti dan menjauhi rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri.

“Seperkara lagi yang beta ingin nasihatkan adalah berkaitan integriti ahli-ahli Yang Berhormat yang perlu sentiasa dipelihara.

“Walaupun perkara ini telah sering beta ingatkan pada setiap kali ucapan beta di mana-mana jua, namun beta merasakan perkara ini perlu diulangi bagi mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat tentang kepentingan menjaga integriti.

“Jauhilah diri daripada segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri,” titah baginda seperti dilapor Astro AWANI.

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan