KERAJAAN menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan sebanyak RM33.6 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi penggantian lif usang.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu melibatkan penggantian lif di lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam di ibu negara.
Antaranya, PPR Bukit Jalil, Perumahan Awam Desa Rejang, Perumahan Awam Seri Pangkor 1, Perumahan Awam Seri Pangkor 2 dan Perumahan Awam Seri Terengganu.
“Peruntukan ini akan membantu kerja-kerja penggantian sebanyak 56 unit lif di 19 blok rumah pangsa PPR dan perumahan. Kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan DBKL bermula pada tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga tahun 2024.
“Penyelenggaraan dan penggantian lif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 9,272 orang penduduk di PPR dan perumahan awam tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menyempurnakan prapelancaran bagi penggantian enam unit lif di Blok A dan Blok B, PPR Seri Malaysia yang melibatkan RM3.28 juta peruntukan DBKL.
Peruntukan khas Kerajaan Perpaduan melalui Inisiatif Belanjawan Lif Madani 2023 itu adalah bagi penyelenggaraan dan penggantian lif di PPR yang berjumlah RM50 juta.
Beliau berkata, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan penyelenggaraan perumahan berstrata itu dilaksanakan secara berterusan. – Edisi 9