PERIKATAN Nasional (PN) akan mengerahkan jenteranya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap ucapan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan tersebut menyentuh unsur sensitif 3R (raja, agama dan kaum).
“Hipokrit! Itu sahaja perkataan yang layak untuk diletakkan kepada para pemimpin Kerajaan Perpaduan apabila kononnya lantang mengecam isu 3R (Royal, Religion, Racist) termasuk satu lagi R iaitu Region.
“Tetapi kenyataan berkaitan 4R inilah yang apabila dilaung oleh para pemimpin Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan, mereka sendu seribu bahasa!
“Terkini, Pemuda PN dimaklum suatu ucapan yang sangat biadap, kononnya untuk menakutkan pengundi bangsa Cina oleh Lim Guang Eng dengan menyatakan PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang!
“Kenyataan ini adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini,”katanya menerusi kenyataan di sini.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, Pemuda PN mengecam keras terhadap kenyataan terkutuk ini dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar demi menutup kegagalan mereka mentadbir negara.
“Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, nah sekarang apa tindakan?
Katanya, laporan polis akan dilakukan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap sikap perkauman pemimpin DAP ini.
“Pengarahan ini untuk seluruh jentera Pemuda PN di seluruh negara!,” katanya. – Edisi 9

