33.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

KKR sasar 270 SST dikeluarkan sehingga akhir tahun ini

Menerusi penyerahan SST ini, secara tidak langsung dapat membantu dari sudut ekonomi golongan kontraktor daripada pelbagai kelas termasuk kontraktor kecil G1 hingga G4

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menyasarkan sebanyak 270 Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan sehingga akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah berkenaan adalah jumlah sasaran bagi projek di seluruh Malaysia kepada syarikat-syarikat yang terpilih dalam proses Perolehan Kerajaan.

“Menerusi penyerahan SST ini, secara tidak langsung dapat membantu dari sudut ekonomi golongan kontraktor daripada pelbagai kelas termasuk kontraktor kecil G1 hingga G4.

“Projek pembangunan yang dilaksanakan adalah selaras dengan misi utama dan objektif Kerajaan dalam mempromosikan keseimbangan di antara wilayah dan merentangi ekonomi yang seimbang di antara bandar dan luar bandar.

“Infrastruktur jalan raya yang sempurna adalah menjadi tanggungjawab utama KKR dan isu keselamatan jalan raya khususnya di Jalan Persekutuan seluruh negara adalah diberikan perhatian utama,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kementerian akan melaksanakan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang telah diluluskan pada Rolling Plan 2, RMKe11 dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 juta dan diteruskan pelaksanaannya dalam RMKe-12 dengan empat skop utama ditekankan.

“Ia terdiri rawatan di lokasi kerap berlaku kemalangan (Blackspot) di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia dengan sebanyak 264 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM76.3 juta.

“Pembinaan jejantas pejalan kaki di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia dengan sebanyak 18 buah jejantas telah siap dibina dengan peruntukan RM56.6 juta dan enam sedang dalam pembinaan.

“Selain itu, pembinaan Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia membabitkan 114 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM27.4 juta.

Advertisements

“Dan juga, pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia dengan 148 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM15 juta,”katanya.

Menurut beliau, dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja binaan, KKR menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga menyediakan peluang latihan kemahiran kepada personnel binaan dan belia tempatan di dalam bidang kemahiran berimpak tinggi seperti kimpalan, mekanikal dan elektrikal, pemasangan perancah dan pemasangan paip, di Akademi Binaan Malaysia.

“Di samping itu juga CIDB menyediakan latihan di dalam Building Information Modelling (BIM), selaras dengan usaha pendigitalan industri pembinaan,”katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, bagi merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, KKR akan terus melaksanakan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalanraya 2030 (HNDP).

“KKR juga akan terus mengambil langkah proaktif dan menggandakan pelbagai inisiatif untuk mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri dalam mencapai hasrat dan kejayaan Ekonomi Madani.

Ujar beliau, kementerian menyambut baik seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi Malaysia yang baharu.

“KKR sebagai peneraju sektor pembangunan pembinaan dan infrastruktur negara akan terus memperkasakan usaha dalam menjadikan sektor pembinaan berkembang pesat dalam merealisasikan pencapaian cemerlang Ekonomi Madani ini.

“Sehubungan dengan itu, KKR akan terus komited untuk merancakkan semula sektor pembinaan serta 196 rantaian bekalan (subsektor) di bawahnya,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Maritim Malaysia tambah aset, bakal miliki empat helikopter AW189

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal memiliki empat buah helikopter jenis Agusta Westland AW189 ‘medium lift’ menerusi satu...

Lagi Artikel Berkaitan