Wednesday, July 22, 2026

Hadi percaya kebangkitan anak muda PRN nanti

Apabila mereka merasakan tekanan daripada situasi negatif oleh pihak yang berkuasa, maka berlaku kebangkitan yang mahukan perubahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya kebangkitan anak muda akan berlaku dengan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.

Momentum itu, kata beliau, dapat disaksikan apabila berlaku kebangkitan anak muda secara berduyun-duyun ingin menegakkan Islam melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Perkara itu mengatasi orang tua yang sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaannya, sehingga ditenggelamkan oleh gelombang yang membinasakan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas di Facebook beliau hari ini.

Abdul Hadi dilapor sedang menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara.

Beliau berkata, para ulama’ mentafsirkan perubahan yang dimaksudkan itu dengan menolak keburukan dan mahukan kebaikan yang menjadi tuntutan generasi baharu dan penduduk pedalaman yang bersih.

“Apabila mereka merasakan tekanan daripada situasi negatif oleh pihak yang berkuasa, maka berlaku kebangkitan yang mahukan perubahan.

“Adakah sikap mereka seperti kaum Nuh AS, sehingga ditenggelamkan oleh taufan yang dahsyat, atau seperti kaum Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang disesatkan selama 40 tahun?

“Allah SWT tidak menurunkan kepada umat akhir zaman seberat itu. Cukup sekadar menjadi ramai kalangan pengundi saluran satu yang tidak berubah, sehingga negara ditenggelamkan atau dia ditimbus ke dalam kubur,”katanya.

Oleh demikian, katanya, kita menyaksikan tanda-tanda yang sangat menarik dengan kebangkitan anak muda di negara kita dalam PRU-15 akan terus meluncur dengan lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Khususnya, dengan keinsafan mereka apabila melihat tanpa tertarik kepada pemimpin yang terjun ke padang untuk menari dan menyanyi bagi menggoda mereka. Barangkali yang mabuk dadah dan syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda.

“Perubahan anak muda wajib berlaku secara menyeluruh dan sempurna, maka peranan ibu bapa dan pendidik sangat penting bagi membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.

“Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia dan akhirat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan