SATU lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, Terengganu ditemui pagi tadi, sementara tiga lagi masih hilang.
Difahamkan lokasi penemuan mayat di belakang Masjid Dadong itu dipercayai perempuan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, berkata mayat tersebut dijumpai penduduk kampung kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
“Mayat dijumpai sekitar 12 kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat dibawa naik dari sungai jam 8.15 pagi tadi dan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih,”katanya.
Bagaimanapun, identiti belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana pengecaman mayat belum dibuat waris.
Dalam kejadian Ahad lalu, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan kepala air.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengesahkan enam mayat yang ditemukan adalah mangsa tragedi tersebut. – Edisi 9