OPERASI pada hari keempat mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu gagal menemui sebarang petunjuk.
Sehubungan dengan itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) polis di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih ditutup sebaik SAR ditangguhkan pada 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, penutupan pos itu juga disebabkan ramalan dikeluarkan jam 3.55 petang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung amaran hujan lebat dan ribut petir sehingga 7 malam Rabu.
“Kita terpaksa tutup PKTK hari ini namun polis tetap akan bantu pihak bomba lakukan SAR.
“Bagaimanapun pos kawalan hadapan JBPM pula akan dibuka dan sambung semula esok untuk teruskan pencarian.
“Selain itu, cuaca tidak mengizinkan untuk pasukan jalankan pencarian maka operasi ditangguhkan pada jam 5 petang dan ia akan sambung semula esok (Khamis) jam 9 pagi.
“Saya sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman mengingatkan semua agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dan mencari hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencarian daripada jabatan masing-masing sebab tidak mahu ada tragedi dalam tragedi,” katanya dalam sidang media petang ini, lapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Hanyan berkata, orang ramai boleh memasuki kawasan jeram berkenaan untuk berkelah namun perlu mendapatkan permit sebelum pergi ke lokasi tersebut.
Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Setakat ini lapan mangsa ditemui lemas termasuk termasuk dua mangsa ditemui pada Ahad iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.