KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar membuat kejutan apabila meninggalkan kelab itu untuk baki Liga Malaysia musim ini atas alasan yang tidak dinyatakan.
Sabah menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dicapai menerusi persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
“Sabah mengumumkan bahawa Baddrol akan meninggalkan peranannya sebagai ketua pasukan dan tidak lagi bersama pasukan sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Baddrol menyertai Sabah pada tahun lalu dan merupakan antara nama besar bola sepak tempatan yang dibawa masuk ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee bagi memperkuatkan pasukan.
Sepanjang di Likas, Baddrol melakukan sebanyak 41 penampilan dan merekodkan 13 gol ketika menyarung jersi Sang Badak.
“Segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah dan seterusnya menerajui kelab ke Piala AFC akan sentiasa dikenang.
“Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin. Nama Baddrol juga akan terpahat sebagai lagenda bola sepak Malaysia,” katanya. – Edisi 9