PENYERANG Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang mengakhiri karier buruknya di Chelsea apabila mengambil keputusan berhijrah ke Perancis menyertai Olimpique Marseille.
Pemain berusia 34 tahun itu dilaporkan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab Ligue 1 tersebut.
Aubameyang menyertai Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu bagi mengisi posisi pemain nombor sembilan The Blues.
Keputusan itu turut didorong oleh Thomas Tuchel yang merupakan mentor penyerang tersebut ketika bersama di Borussia Dortmund sebelum ini.
Bagaimanapun, perubahan pemilikan kelab menyaksikan Tuchel dipecat dan digantikan Graham Potter yang akhirnya menyaksikan peranan Aubameyang terus pudar.
Aubameyang berada sebagai penyerang gantian di belakang Kai Havertz dan kemudiannya digugurkan dalam senarai skuad Liga Juara Juara Eropah (UCL) untuk pusingan kalah mati.
Penyerang veteran itu sebelum ini diintai kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Los Angeles FC dan beberapa kelab di Arab Saudi.
Bagaimanapun, bekas penyerang Arsenal itu memilih untuk kekal di Eropah bersama Marseille dan kini berpeluang kembali beraksi di kejohanan UCL.
Chelsea menerusi laman web rasmi kelab mengumumkan perpindahan Aubameyang dengan kenyataan ringkas hari ini. – Edisi 9