PARIS Saint-Germain (PSG) menandatangani dua pemain bertaraf bintang, Marco Asensio dan Milan Skriniar di bawah pengendali baharu, Luis Enrique.
Asensio menandatangani kontrak selama tiga tahun sementara Skriniar pula ditawarkan kontrak lebih panjang selama lima tahun.
Kedua-dua pemain berkenaan tiba di Parc des Princes secara percuma selepas kontrak mereka bersama bekas majikan berakhir 30 Jun lalu.
Asensio meraih banyak kejuaraan sepanjang sembilan tahun di Real Madridm namun tidak pernah menjadi tonggak utama skuad Los Blancos.
“Adalah sesuatu yang istimewa apabila menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini. Saya tidak sabar menyertai rakan sepasukan dan bekerja bersama mereka,” kata Asensio ketika diperkenalkan kepada media.
Sementara itu, Skriniar pula berhijrah dari Inter Milan selepas enam musim di ibu kota Milan.
Pemain pertahanan Slovakia itu mengalami kecederaan belakang pada Februari lalu yang menyebabkannya terlepas peluang beraksi di perlawanan akhir Liga Juara Juara Eropah.
Skriniar juga merupaka Pemain Terbaik Tahunan Slovakia selama empat tahun berturut-turut dan merupakan tonggak utama Inter ketika meraih kejuaraan Scudetto pada musim 2020-21. – Edisi 9

