YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab yang meninggal dunia semalam.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara,” menurut hantaran itu.
Pahamin, 77, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, malam tadi.
Allahyarham yang juga Pengasas Bersama AirAsia pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan dalam tempoh lebih 30 tahun.
Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula tahun 1974 hingga 1998.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari tahun 1998 hingga 2001. – Edisi 9

