33.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

96 peratus syarikat Jepun mahu terus kekal di Malaysia

Jepun merupakan antara rakan dagang terpenting dan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada 2022

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 96 peratus syarikat Jepun mahu terus kekal di Malaysia dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu berdasarkan tinjauan Japan External Trade Organization (JETRO), dan kadar pengembangan itu lebih tinggi daripada purata bagi ASEAN dan kedua tertinggi di rantau ini.

“Jepun merupakan antara rakan dagang terpenting dan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak USD41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada 2022.

“Jepun juga disenaraikan sebagai salah satu sumber utama pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan.

“Tahun lalu, sejumlah 2,746 projek telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai USD27.25 billion (RM91.14 bilion) dan sebanyak 336,326 peluang pekerjaan telah dijana. Pada tahun ini, kita telah memperoleh komitmen pelaburan daripada Jepun sebanyak RM23 bilion,”katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko bersama delegasi dari badan Japanese Chamber of Trade and Industry, Malaysia (JACTIM), semalam.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik yang kukuh kini yang masuk ke tahun yang ke-65.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) terus menguak tatkala negara menyaksikan pelaburan masuk yang diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama tahun ini.

“Lantas menjadikannya suatu lonjakan yang ketara yakni sebanyak 60 peratus ketimbang tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Advertisements

Sehubungan itu, Anwar berkata, adalah mustahak untuk negara terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.

“Peningkatan FDI yang berterusan adalah bukti keyakinan para pelabur asing yang kian pulih terhadap kemajuan dan potensi ekonomi Malaysia.

“Asas ekonomi kita terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi yang rendah serta landskap politik yang semakin stabil,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat.

Justeru katanya, kerajaan juga berkomitmen tegas untuk membangunkan industri baru seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.

“Saya amat yakin dengan prestasi masa depan pelaburan di Malaysia yang pastinya akan terus rancak. Kerajaan akan terus berusaha sebaiknya dalam memperkukuh iklim pelaburan yang lebih baik.

“Kerajaan juga sedang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menarik pelaburan bernilai dan berdampak tinggi serta mencipta tenaga kerja tempatan yang memiliki nilai daya saing.

“Usaha ini adalah sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang akan datang dan bakal dicerakinkan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang akan diluncurkan pada Ogos 2023,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan