26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ahmad Zahid nafi hubungan dingin antara MCA, MIC

Ini susulan kedua parti komponen BN itu memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan hubungan antara MCA dan MIC dengan BN, susulan kedua parti komponen BN itu memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Beliau yang menghormati keputusan itu berkata, pihaknya akan menyemak semula kerusi yang diperuntukkan kepada MIC dan MCA.

“Tiada masalah dalam hubungan MCA dan MIC dalam BN, mereka akan tetap turun berkempen, cuma tidak bertanding.

“Sebagai Pengerusi BN saya menghormati keputusan dibuat kedua-dua parti itu. Ia keputusan tertinggi parti itu namun, isu sama akan turut dibincangkan pada 10 Julai nanti.

“Kita sebenarnya telah tetapkan MCA dan MIC ada kerusi. Kalau itu mereka putuskan, kita akan bincangkan semula,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN Isnin ini.

“Malam tadi saya dihubungi Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tentang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi mereka dan kita telah baca kenyataan Setiausaha Agung MIC tentang kedua parti untuk tidak sertai enam PRN negeri,”katanya.

Advertisements

Ditanya sama ada beliau akan memujuk semula dua parti itu untuk bertanding, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan namun, jika mereka tetap dengan keputusan maka, peruntukan kerusi itu akan diletakkan kembali bawah BN.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang diperuntukkan BN kepada MCA dan MIC, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah itu.

Semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, memaklumkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan.

Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

Tidak lama kemudian, satu lagi komponen BN iaitu MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran menerusi kenyataan berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 30 Jun lalu setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan