27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

21 nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 21 nelayan Vietnam ditahan susulan penahanan sebuah bot nelayan asing sekitar 160 batu nautika dari Muara Tok Bali, Kelantan, Rabu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, KM Amanah mengesan kehadiran bot tersebut ketika melaksanakan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan pantai timur pada pukul 10.26 pagi.

Katanya, semasa dirapati, bot itu tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri dan bergerak menuju ke sempadan Vietnam. 

“Namun pada pukul 11.01 pagi, bot berjaya dipintas dan ditahan. Pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, bot nelayan asing Vietnam dikendalikan seramai 21 orang kru termasuk tekong yang berumur lingkungan 17 hingga 55 tahun. 

“Bot nelayan itu juga tidak mempunyai sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, kesemua kru termasuk tekong, sebuah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan navigasi dirampas termasuk bekalan diesel lebih kurang 5,200 liter dan ikan baja lebih kurang 1000 kilogram dengan nilai anggaran RM1.53 juta.

Advertisements

Ujarnya, KM Amanah mengambil masa selama 27 jam mengiringi bot tahanan itu masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan sebelum tiba pada pukul 2.30 petang Khamis lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 16 (3) akta sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Syed Nor Adli berkata, sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600,000  ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lakukan ‘total cleansing’ kumpulan ajaran sesat, ekstrem agama

PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa melakukan total cleansing (sapu bersih) terhadap kumpulan ajaran sesat dan...

Lagi Artikel Berkaitan