27.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 15, 2024

Tiket konsert solo pertama Faizal Tahir mula dijual

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMINAT yang ingin menyaksikan konsert solo penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir, ‘Aku Faizal Tahir: Live In Kuala Lumpur’ di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 2 September depan boleh mula mendapatkan tiket bermula jam 10 pagi ini.

Konsert solo selepas 17 tahun bergelar anak seni, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 45, itu dibuat khas untuk peminatnya sebagai tanda penghargaan.

Faizal berkata, dalam konsertnya itu, beliau berjanji akan memberikan persembahan terbaik di lokasi acara yang mampu memuatkan seramai 2,900 penonton.

“Bagi saya, konsert ini adalah sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya, selepas 17 tahun berada dalam industri.

“Saya rasa ini adalah masa yang terbaik, setelah sekian lama dipujuk oleh pihak pengurusan untuk membuat konsert solo. Saya rasa ini tanda yang orang masih nak dengar saya menyanyi.

“Lagipun, ketika saya mempromosikan lagu terutamanya di media sosial, terlalu banyak komen daripada peminat yang meminta saya untuk membuat konsert solo.

“Pihak pengurusan kumpulkan semua komen itu dan tunjukkan kepada saya,” katanya dalam sidang media mengenai konsert berkenaan, semalam.

Advertisements

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata konsert itu bakal menampilkan beberapa segmen menarik yang menunjukkan revolusi perjalanan kembara seninya selama 17 tahun.

“Konsert ini bukanlah bersifat hiburan semata-mata sebaliknya saya mahu menyampaikan sesuatu yang baik dan positif tentang kehidupan, terutamanya pengalaman sendiri dalam menempuh cabaran dalam industri.

“Saya nak orang pulang dengan rasa mendapat sesuatu yang bermanfaat untuk diri masing-masing dan bukan hanya sekadar untuk berhibur,” katanya.

Lebih istimewa, dalam konsert itu, naib juara musim pertama rancangan realiti One in a Million itu juga akan merakamkan semula lagu popularnya, Sampai Syurga, sebagai tanda terima kasih kepada semua pihak yang mendukung perjalanan kariernya selama ini.

“Saya juga akan mempersembahkan 23 lagu termasuk lagu-lagu medley daripada lima album seperti Mahakarya Cinta, Bencinta, Assalamualaikum dan Ragaman,” katanya yang berjanji akan memberikan persembahan terbaik.

Menerusi konsert itu, Faizal bakal mendendangkan seleksi lagu hitsnya daripada lima album termasuk Aku.Muzik.Kamu, Adrenalin dan Faizal Tahir serta Anatomi & Rojak.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM488, RM588 dan RM688 di laman sesawang di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline di 01151003111 (WhatsApp sahaja). -BERNAMA

Advertisements

Terkini

Yakin Boleh mampu membentuk nasionalisme kalangan belia

Oleh MOHAMMAD RIZAN HASSAN TEMA Hari Belia Negara 2024 yang akan di sambut pada 15 Mei ialah Yakin Boleh yang...

Lagi Artikel Berkaitan