KERAJAAN Negeri Kedah disaran menyelesaikan isu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara rundingan bersama.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah berpunca daripada tuntutan caj air mentah yang berlarutan sejak sekian lama.
“Saya fikir hanya bermula daripada bekalan air, sumber bekalan air dari Kedah yang pergi ke Pulau Pinang. Air tu daripada hulu Kedah mengalir (melalui) Sungai Muda yang hujungnya ada sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang, itu yang jadi pertikaian yang panjang dan sudah lama.
“Jadi saya fikir paling baik sekali adalah bawa berunding untuk menyelesaikan (isu) antara Pulau Pinang dan negeri Kedah.
“Saya ingat sandaran yang Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) pakai itu mungkin atas bayaran (pajakan) yang dibuat Kerajaan Persekutuan kepada Kedah dan bukan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke- 7, Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Alor Setar, di Dewan Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang hari ini.
Media pada 2021 melaporkan Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti sebanyak RM10 ribu setahun.
Sementara itu, Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, ketika beliau menjawat jawatan berkenaan, pendekatan berbeza digunakan dalam rundingan tuntutan caj air mentah.
“Cara kita bangkit pada waktu itu kita duduk di meja, berunding, ada yang boleh diberi perhatian dan ada kebaikan dan keburukanlah, bila buat analisa kita dapati ada juga perkara yang kemungkinan kita tak dapat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, tuntutan bayaran khas berjumlah RM200 juta sudah dilakukan sejak zaman pemerintahan bekas menteri besar, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.
“Ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar (1999-2005) dituntut supaya satu penilaian mesti dibuat, berapa keluasan padi dan berapa keluasan hutan yang tak boleh ditebang dan (sebab) itu dibuat surat pada waktu itu.
“Kemudian saya menjadi Menteri Besar, saya pun dah buat surat kepada kerajaan Persekutuan, saya ingat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pun mungkin pernah buat surat yang sama.
“Jadi bukanlah satu benda baru. Tuntutan kepada kerajaan Persekutuan mengenai dengan sawah padi dan juga kawasan hutan (di Kedah) ,” katanya. – Edisi 9