KERAJAAN Persekutuan bersetuju menurunkan kadar harga sewaan gerai D’Anjung Selera Madani sebanyak 50 peratus kepada RM200 sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan kerangka Malaysia Madani untuk mengangkat ekonomi rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat.
“Kerajaan bersetuju untuk menurunkan kadar sewaan bulanan gerai dari RM400.00 kepada RM200. Moga dengan usaha dan inisiatif ini dapat mencerakinkan lagi pertumbuhan ekonomi peniaga dan penjaja kecil di seluruh Kuala Lumpur.
“InshaAllah, kerajaan tekad untuk terus berusaha memastikan masa depan para peniaga dan penjaja kecil ini terus diberikan perhatian dan komitmen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis peluncuran tapak D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur Bandar Tun Razak, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kewujudan tapak penjaja ini amat bermakna bukan sahaja untuk memberi keselesaan kepada para pelanggan tetapi bagi memperkasakan peniaga dan penjaja kecil meliputi pembangunan serta naiktaraf infrastruktur.
“Tapak penjaja ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan ke atas peranan dan sumbangan peniaga atau penjaja kecil kepada sumber pendapatan ekonomi negara,” katanya. – Edisi 9