AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih ‘Mat Jargon’ daripada dirinya.
Bercakap dalam podcast ‘Keluar Sekejap‘ yang dihoskan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan, beliau berkata, Anwar yang merupakan graduan Pengajian Melayu lebih banyak menggunakan istilah berbanding dirinya.
“Dia lebih Mat Jargon daripada saya,” katanya dalam podcast yang disiarkan di Youtube itu.
Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri menggunakan pelbagai istilah dalam ucapakan mahupun perbentangan Bajet 2023 lalu seperti wewenang, hubaya, kebhinekaan, purbasangka, ketimbang, menopang, bobrok, kegalauan dan tantangan.
Menyentuh mengapa beliau digelar Mat Jargon, Wan Ahmad Fayhsal berkata, gelaran tersebut merupakan ‘troll’ politik yang digunakan sesetengah orang kepadanya.
Ujarnya, sebagai pelajar falsafah Islam, beliau lebih gemar menggunakan istilah berat bagi menggambar sesuatu dengan tepat seperti yang diajar oleh profesor beliau.
“Memang saya sedar dan biasalah satu ‘troll’ politik yang biasanya dipakai oleh sesetengah orang yang kritik saya kerana latar belakang saya sebelum masuk politik ialah seorang pelajar falsafah islam.
“Kerana itulah saya banyak guna jargon. Saya banyak bincang hal-hal akademik tetapi sebagai ahli politik tentulah saya di kampung tidak guna istilah-istilah tersebut, saya guna bahasa orang awam,” katanya.
Sementara itu, menyentuh hubungan beliau dengan bapanya, Prof. Dr. Wan Kamal Wan Napi, beliau berkata, dia terpisah dengan bapa sejak berusia tiga tahun selepas ibu bapa mereka bercerai.
Katanya, beliau tinggal bersama ibu sementara bapanya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan berkahwin lain dengan dua adik tirinya kiri beraksi dalam liga bola sepak di negara Uncle Sam itu, Wan Kuzri dan Wan Kuzain.
“Tahun lepas sebelum pilihan raya saya sempat ambil cuti dua minggu untuk ke AS bertemu (bapa) buat pertama kali dalam hidup.
“Sejujurnya kita sudah besar dan kebetulan saya ada seorang anak. Jadi sebagai ayah yang baharu mungkin saya boleh menjiwai perasaan ayah saya yang dah lama saya tidak jumpa.
“Tiada apa-apa dendam, saya tidak buka cerita lama, saya sebagaimana Islam ajar kita, beliau tetap ayah saya. Saya jumpa beliau sebagai seorang anak yang ingin mencari bapanya yang masih hidup. Saya hanya mahu menjalinkan hubungan kekeluargaan,” katanya. – Edisi 9