KETUA Pemuda PKR, Adam Adli menganggap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bukan lagi rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH) yang layak disimpan.
Ini berikutan tindakan parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu yang mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri secara solo.
Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan MUDA itu seolah-olah mahu mencabar PH selaku penyandang kerajaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Masuk PRN ertinya mencabar penyandang; dengan tujuan menggantikan penyandang tersebut. Adakah itu matlamat MUDA?
“Tak ada orang masuk pilihan raya sebab suka-suka; semua nak menang dan tubuhkan kerajaan. Itu asas politik pilihan raya,” katanya menerusi Twitter, malam tadi.
Syed Saddiq pada Isnin lalu mengumumkan keputusan parti itu untuk menyertai PRN secara solo.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, tujuan MUDA berbuat demikian agar rakyat yang tidak ingin melihat politik 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (institusi diraja) dimainkan secara melampau mempunyai pilihan alternatif.
Adam berkata, sekiranya MUDA mempunyai matlamat untuk menggantikan kerajaan negeri khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bermakna parti itu tidak selayaknya bersama Kerajaan Perpaduan.
“Kalau masuk PRN hanya kerana gagal dapatkan ‘ruang nak bertemu dan bermesyuarat’; maka saya anggap MUDA memang bukan rakan kongsi yang sesuai disimpan.
“It’s all about your interest (ini semua kerana kepentingan peribadi), bukan rakyat pun,” katanya.
Sehubungan itu Adam mencabar Syed Saddiq membuat pengumuman sama ada MUDA masih bersama blok kerajaan atau tidak lagi menyokong.
“Jika tidak lagi sokong; boleh lintas ke blok pembangkang. Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang,” katanya. – Edisi 9