POLIS menemui mayat seorang lelaki terjatuh dari tebing batu di bukit berhampiran kawasan Taman Jeselton Georgetown, kelmarin.
Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai merupakan salah seorang ahli Geng Rantau Dawai yang sebelum itu cuba melarikan diri bersama dua lagi lelaki ketika polis menjalankan Op Rantau Dawai kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Gerakan Am telah menjalankan satu operasi di kawasan Jeselton, Sabtu lalu.
“Dalam operasi tersebut, semasa sedang melakukan rondaan di dalam hutan berhampiran, pasukan pemerhati telah terserempak dengan tiga suspek lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan terbabit telah meminta kerjasama daripada suspek untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak diketahui kerana keadaan gelap,”katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kemudian menurut beliau, pasukannya telah membuat pencarian di sekitar kawasan tersebut namun tidak menjumpai apa-apa.
“Kira-kira pukul 4.45 pagi hari yang sama, pihak polis telah menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebuah bag galas yang berada di sebelah mayat yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti alat pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.
“Turut dijumpai sebilah pisau pemotong daging, namun pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen diri.
“Bantuan daripada pasukan forensik dan Unit K9 juga gagal menemukan sebarang petunjuk.
“Menerusi hasil bedah siasat mendapati punca kematian ‘traumatic head injury due to fall from height’ dan cap jari serta DNA (sampel asid deoksiribonukleik) lelaki berkenaan diambil bagi tujuan mengesan identiti,”katanya.
Ujar beliau, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Polis juga ingin menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,”katanya. – Edisi 9