SIMPATI dengan nasib seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan pesakit jantung berlubang, Ahmad Awaluddin Idris, Majlis Amanah Rakyat (Mara) tampil menghulurkan bantuan.
Ini selepas kisah Ahmad Awaluddin atau Udin tular di media sosial selepas terpaksa menjual nasi lemak bagi membantu ibu saudaranya yang tidak dapat bekerja kerana patah kaki akibat kemalangan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah meminta Pengarah Mara Perak, Lalilatul Asmah Mohd. Tahir untuk bertemu anak yatim piatu itu bagi memberikan beberapa opsyen kepadanya.
Katanya, antara pilihan yang diberikan adalah pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan ataupun peluang menyambung pengajian.
“Saya telah meminta Pengarah Mara Perak bertemu dengan adik Udin.
“Ini bagi membolehkan Mara bantu dengan peluang-peluang latihan keusahawanan, pembiayaan mahupun untuk adik ini dapat melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan Mara bergantung kepada keputusan SPMnya,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Udin merupakan anak yatim piatu selepas ibunya meninggal dunia ketika usianya dua tahun dan turut kehilangan bapanya pada umur empat tahun.
Lulusan SPM berusia 18 tahun itu tinggal dan dibesarkan oleh ibu saudaranya namun, Udin terpaksa menjual nasi lemak bagi membantu ibu saudaranya itu yang patah kaki akibat kemalangan baru-baru ini.
Pemuda tersebut menjual nasi lemak berdekatan stesen minyak Petronas di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Mara membuka ruang kepada semua pelajar yang berminat menyambung pengajian sama ada cemerlang atau sebaliknya di bawah institusi mereka.
“Mara bukan hanya menumpukan kepada pelajar yang cemerlang sahaja malah turut membuka ruang dan peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang kurang cemerlang untuk menceburi pelbagai bidang TVET yang menarik dan memenuhi keperluan zaman dan pasaran,” katanya. – Edisi 9