PARIS Saint-Germain (PSG) dikejutkan dengan berita bintang sensasi mereka, Kylian Mbappe enggan mengaktifkan kontrak lanjutan setahun di Parc des Princes.
Keputusan itu menyaksikan kelab gergasi Perancis itu mempertimbangkan untuk menjual Mbappe kerana kontrak sedia ada penyerang itu akan berakhir pada 2024.
Jika gagal menjual penyerang berusia 24 tahun itu, PSG bakal berputih mata apabila pemain itu meninggalkan kelab secara percuma apabila kontraknya berakhir.
Mbappe difahamkan memaklumkan keputusannya melalui surat semalam untuk tidak melanjutkan kontrak sehingga Jun 2025.
Bagaimanapun, bekas penyerang AS Monaco itu masih ada masa sehingga 31 Julai ini untuk membuat keputusan akhir tetapi Mbappe dilaporkan tidak gembira dengan hala tuju kelab ketika ini.
Khabar dari Perancis ini pastinya menjadi satu berita gembira buat Real Madrid yang telah lama menyatakan minat untuk mendapatkan penyerang berkenaan.
Mbappe dilihat sebagai pengganti Karim Benzema yang baharu meninggalkan kelab itu bagi menyertai Al Ittihad namun PSG dijangka bakal meletakkan harga yang tinggi.
Real baharu sahaja berbelanja sebanyak RM509.3 juta untuk Jude Bellingham daripada Borussia Dortmund dan dijangka berbelanja besar untuk mendapatkan Mbappe.
Penyerang prolifik Perancis itu menjaringkan 29 gol dalam 34 perlawanan Ligue 1 dan memenangi lima kejuaraan liga dalam tempoh enam musim. – Edisi 9