28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

LPB: 2 pakej kerja telah dibuka, baki 13 pakej siap 2025

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memaklumkan dua pakej kerja menerusi pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah telah dibuka untuk pengguna jalan raya, manakala baki 13 pakej kerja dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2025.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sehingga kini sebanyak 15 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dengan status kemajuan 75 peratus siap.

“Status satu pakej kerja baharu iaitu Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula dijangka akan dilaksanakan seawal suku tahun kedua 2023, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Anak Bimol (Mas Gading) pada Pertanyaan Lisan dDewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini.

Mordi meminta Timbalan Menteri menyatakan status terkini berserta tempoh jangka siap pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dan apakah komitmen kerajaan bagi mengurangkan kes kemalangan yang berlaku di sepanjang laluan pembinaan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kerajaan komited bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini.

Sehubungan itu kata Abdul Rahman, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion setiap tahun, di mana RM1 bilion diperuntukkan masing-masing kepada projek LPB Sabah dan LPB Sarawak.

Menurutnya, bagi memastikan hasrat rakyat Sabah untuk menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik tercapai, baki 19 Pakej Kerja (Fasa 1B) yang masih belum mula pembinaan akan dibiayai secara hibrid menggunakan peruntukan pembangunan dan melalui terbitan sukuk/bon oleh DanaInfra Nasional Berhad.

“Projek LPB Sabah Fasa 1B ini akan dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama lima tahun, dan dijangka akan dimulakan seawal suku ketiga tahun 2023, tertakluk kepada kelulusan Agensi Pusat,”katanya.

Advertisements

Ujar beliau, bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, satu pakej kerja iaitu pakej Telok Melano ke Sematan telah siap sepenuhnya pada bulan Januari 2019 manakala status kemajuan pembinaan sehingga April 2023 bagi baki 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri kini 95 peratus siap.

“Hampir keseluruhan jajaran akan siap pada November 2023 kecuali beberapa seksyen di Miri yang perlu direkabentuk semula dan hanya dapat disiapkan pada tahun 2025,”katanya.

Jelas beliau, bagi mengurangkan kadar kemalangan di sepanjang tempoh pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, prosedur keselamatan diguna pakai bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Prosedur berkenaan adalah merangkumi Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan – TMP) di tapak bina sepanjang pembinaan jalan raya, berpandukan kepada Piawaian Arahan Teknik JKR.

“Akta Kilang Dan Jentera 1967, Peraturan (Building Operation and Works of Engineering Construction – BOWEC) 1986; Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994; dan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Awam di Tapak Bina Tahun 2007.

“Sekiranya terdapat kegagalan pihak kontraktor untuk mematuhi prosedur prosedur keselamatan yang telah dinyatakan, Arahan Pemberhentian Kerja (Stop Work Order) akan dikeluarkan kepada kontraktor,”katanya.

Katanya, kerja-kerja pembinaan hanya boleh diteruskan setelah penambahbaikan dilaksanakan oleh kontraktor berdasarkan Notis Penambahbaikan (Corrective Action Request – CAR) oleh Pegawai Penguasa.

“Selain daripada prosedur-prosedur keselamatan tersebut, pemantauan berterusan turut dilakukan oleh Kementerian serta JKR Sabah dan Sarawak selaku Pegawai Penguasa khususnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya khususnya di sepanjang kawasan pembinaan.

“Ini termasuklah pemeriksaan mengejut dan audit keselamatan jalanraya oleh pihak ketiga, iaitu Ibu Pejabat JKR Malaysia yang diadakan mengikut keperluan dan aduan sekiranya ada,”ujar beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan