KERAJAAN Negeri Johor memohon Kementerian Kesihatan bagi membantu menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri itu pada kadar segera.
Menterinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, susulan masalah itu beberapa wad dan bilik bedah di Hospital Sultan Ismail (HSI) tidak dapat beroperasi dan digunakan.
Katanya, isu tersebut juga mengundang kepada masalah pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Ini bermakna ramai juga pesakit yang terkorban sementara menunggu giliran untuk dirawat. Saya merayu kepada pihak Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan staf ini pada kadar yang segera.
“Saya percaya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit, seterusnya mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook malam tadi selepas melakukan lawatan ke HSI.
Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
Onn Hafiz berkata, isu perkhidmatan sentiasa menjadim keutamaan kerana jumlah hospital di negeri itu antara hospital yang menerima bilangan pesakit tertinggi di negara ini.
“Kerajaan negeri bertekad untuk memastikan isu perkhidmatan kesihatan di Johor bertambah baik, terutamanya di HSI dan HSA (Hospital Sultanah Aminah) yang merupakan antara hospital awam tersibuk di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

