33.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Inspektor Sheila tidak mengaku bersalah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEGAWAI polis wanita yang tular di media sosial kerana memperlekeh dan memarahi anggota polis berpangkat rendah, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Sheila Sharon Steven, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Gua Hock.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang dikenali sebagai Inspektor Sheila didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas Silverkoomarie Muthiah, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di No.8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak kira-kira jam 12 tengah hari pada 15 Jun lalu.

Bagi kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua, dia dengan niat menghina kesopanan dengan berkata “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” terhadap Taneswaran Palaraman, 40, di No. 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak kira-kira jam 1 tengah hari pada 15 Jun lalu.

Advertisements

Bagi pertuduhan kedua, Sheila Sharon melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan ikat jamin berjumlah RM8,000.

Bagaimanapun, peguam M Manoharan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberi jaminan bon atau jaminan paling rendah.

Ini kerana katanya, selain tertuduh dan adiknya, bapanya juga bekas pegawai polis berjawatan Asisten Komisioner dan berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Majistret menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen kes tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan