SELEPAS N’Golo Kante mengambil keputusan berhijrah ke Arab Saudi, kini dua lagi bintang Chelsea dilapor dalam perbincangan menyertai kelab di negara Asia Barat berkenaan.
Al-Hilal dilaporkan cuba menyakinkan Kalidou Koulibaly untuk menyertai mereka menerusi kontrak berharga RM148 juta setahun.
Ini selepas perbincangan finalis Liga Juara Juara Eropah, Inter Milan untuk mendapatkan pertahanan antarabangsa Senegal itu ditolak The Blues.
Sementara itu, kelab yang disertai Cristiano Ronaldo, Al-Nassr pula dilaporkan hampir pasti berjaya mengikat Hakim Ziyech dengan gaji berganda berbanding yang diperolehnya di Stamford Bridge.
Ziyech menyertai Chelsea pada 2020, beraksi sebanyak 107 perlawanan yang mana pemain sayap Maghribi itu menjaringkan 14 gol dan merekodkan 13 bantuan jaringan.
Fokus bola sepak dunia kini terarah kepada kelab-kelab Arab Saudi yang kini rancak memborong pemain berusia dengan Karim Benzema merupakan bintang terbaharu ke negara tersebut.
Pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Ruben Neves pula dijangka bakal bersama Koulibaly berhijrah ke Al-Hilal.
Syarikat Arab Saudi, Public Investment Fund (PIC) baru-baru ini mengambil-alih empat kelab termasuk Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal serta memiliki 80 peratus saham Newcastle United. – Edisi 9

