28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Rangka manusia prasejarah ditemukan di Lembah Nenggiri

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemukan rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil di Lembah Nenggiri, Kelantan, November lalu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, rangka itu ditemukan semasa kerja-kerja ekskavasi arkeologi menyelamat Projek Hidroelektrik Nenggiri yang diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli.

Katanya, penemuan rangka manusia prasejarah itu merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara. 

“Secara tidak langsung, ini dapat menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.

“Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya. 

“Kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza.

Cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemukan itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun lalu. 

Menurut MOTAC, sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

“Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, sebuah galeri mini akan dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuklah rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil. 

“Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset atau produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya untuk menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan