33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Samakan saya dengan Tun M tidak masuk akal – Anwar

Mesti Baca

TINDAKAN Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim mengungkap istilah ‘zalim’ dan membandingkan Datu Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah tidak masuk akal.

Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut didorongi niat jahat yang jelas dan nyata serta semua rujukan kepada Dr. Mahathir tidak sepatutnya dibuat oleh defendan (Awang Solahuddin).

“Defendan telah membangkitkan keadaan yang memburukkan dalam saman ini terhadap saya dan saya berhak mendapat ganti rugi teruk yang substantif,” kata Anwar selaku plaintif menerusi jawapan kepada pembelaan yang difailkan semalam (30 Mei) berhubung kes saman fitnahnya terhadap Awang Solahuddin yang difailkan pada 3 Mac lepas.

Menteri Kewangan itu berkata, perbandingan yang dibuat oleh defendan tidak boleh dipertahankan.     

Anwar juga menegaskan bahawa penyiasatan dan pendakwaan oleh agensi penguatkuasaan adalah adil, bebas dan saksama tanpa rasa takut atau pilih kasih serta beliau tidak pernah campur tangan berhubung perkara itu.

Awang Solahuddin menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 4 April lepas mendakwa, plaintif ketika dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa sekitar 1998, terus memulakan Gerakan reformasi yang menggelar Dr. Mahathir sebagai ‘zalim’.

Advertisements

Dakwa Ahli Parlimen daripada Pas itu, jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat kerajaan Dr. Mahathir ketika itu dengan kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Dr. Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sedangkan pertuduhan terhadap seteru politik dibuat oleh plaintif dalam tempoh tiga bulan selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Perbandingan ini yang dirujuk oleh saya dalam menyatakan pandangan atau telahan bahawa plaintif dalam aspek jangka masa pendakwaan dibuat terhadap lawan politik daripada tarikh pelantikan, adalah ‘lebih buruk’ atau ‘paling buruk’ dalam sejarah Malaysia, mengatasi Dr. Mahathir.

“Saya tidak bermaksud untuk membandingkan plaintif dan Dr. Mahathir dari aspek lain yang tidak berkait dengan pendakwaan politik yang sedang diperkatakan oleh saya dalam kenyataan (di lobi Parlimen),” dakwa defendan dalam pembelaannya.

Anwar, 75, menyaman Awang Solahuddin pada 3 Mac lalu berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Anwar di lobi Parlimen semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, 21 Februari lepas.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini Ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah. – BERNAMA 

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan