27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Minggu Kraf London 2023 terima kunjungan tetamu diraja

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PAVILION Antarabangsa Malaysia yang diadakan sempena Minggu Kraf London 2023 (LCW) semalam menerima kunjungan dan tetamu diraja Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Bhutan Baginda Jigme Khesar Namgyel Wangchuck serta Permaisuri Baginda Jetsun Pema.

Turut berangkat ke pameran yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square ialah Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengetuai delegasi Malaysia dalam pameran bermula Sabtu sehingga 14 Mei, telah berkenan menyampaikan taklimat berhubung pameran bertemakan “Abstract Nature” (Abstrak Alam Semula Jadi).

Tetamu-tetamu diraja berkenaan meluangkan masa selama satu jam melihat pameran seni kraf dan produk warisan yang memaparkan landskap budaya Malaysia yang kaya melalui keunikan tradisi kraf dan produk warisan masyarakat Malaysia khususnya Melayu, Orang Asli Semelai dari Pahang, Mah Meri (Selangor) di Semenanjung Malaysia serta suku kaum etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.

Pameran edisi kedua Malaysia sempena Minggu Kraf London kali ini turut mengetengahkan Songket Terengganu dan telepuk (teknik menghias tekstil).

Penyertaan Malaysia dalam pameran itu diketuai oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja dan disokong oleh Kerajaan Persekutuan (Kementerian Luar), Kerajaan Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu.

Selain tetamu diraja, turut menghadiri pameran itu ialah Duta Monaco ke United Kingdom Puan Yang Terutama Evelyne Genta, Pengerusi London Craft Week Guy Salter dan dari Malaysia, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di London, pada Rabu lepas bagi mengadakan lawatan khas hingga 14 Mei, atas persilaan rasmi Baginda Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan baginda sebagai Ketua Negara United Kingdom. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan