BERGELAR juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2015-16, namun tujuh tahun selepas itu, Leicester tersingkir ke Liga Kejohanan.
The Foxs bergelut sepanjang musim ini, bergelut untuk mendapatkan pemain baharu selepas kehilangan beberapa tonggak seperti Wesley Fofana kepada Chelsea serta terikat dengan Financial Fair Play.
Tidak seperti Aston Villa yang pantas menyingkirkan Steven Gerrard dengan membawa masuk Unai Emery, Leicester mengambil masa sehingga April lalu untuk memecat Brendan Rodger.
Pengurus berbangsa Inggeris itu pada Januari 2022 pernah merungut mengenai keperluan membawa masuk pemain baru berkualiti, namun permintaannya enggan dilayan.
Dan awal pagi tadi menyaksikan The Foxs turun ke Liga Kejohanan bersama satu lagi pasukan bermasalah, Leeds United sambil Everton terselamat selepas menundukkan Bournmouth di laman sendiri.
Leicester yang dibimbing Dean Smith memerlukan kemenangan dan berharap Everton seri atau tewas, dengan syarat, mereka perlu menundukkan West Ham United.
Segalanya tampak berjalan lancar apabila Harvey Barnes meletakkan The Foxs di depan pada minit ke-34 sambil keputusan di Goodison Park masih terikat tanpa jaringan.
Namun pada minit ke-57 selepas perlawanan bersambung, penyokong Leicester dihidangkan dengan berita Everton berjaya mendahului The Cherries menerusi jaringan Abdoulaye Doucoure.
Wout Faes melebarkan kedudukan untuk The Fox namun West Ham kembali merapatkan jurang menerusi Pablo Fornal pada minit ke-79.
Tiga mata yang dikutip Leicester tidak memberikan sebarang makna apabila Everton mengesahkan kemenangan mereka ke atas Bournemoth sekali gus kekal di EPL musim depan.
Sementara itu, Leeds yang dibimbing Sam Allardyce seperti dijangka gagal memberikan saingan kepada Tottenham Hotspurs apabila tunduk 4-1 di Elland Road.
Keputusan itu menyaksikan The Whites kekal di tangga ke-19 sekali gus tersingkir ke Liga Kejohanan untuk musim 2023-24. – Edisi 9