30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

KBS salur RM1.48 juta pergiat operasi SAR Hawari

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan bantuan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Muhammad Hawari Hashim, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest.

Ketua Setiausaha KBS, Nagulendran Kangayatkarasu berkata, bantuan itu bagi membolehkan operasi SAR pendaki tersebut yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, dipergiat sebelum semua aktiviti di pergunungan itu dihentikan pada Isnin depan.

“Usaha mencari Muhammad Hawari yang hilang di Kem 3 pada 18 Mei lepas, sedang giat dijalankan di semua tempat, kem dan khemah. Pencarian melalui darat dan udara turut dijalankan.

“Saya difahamkan misi pencarian diperluaskan, operator yang mengawal laluan di kawasan Tibet turut membantu mengesan beliau.

“Operasi (SAR) ini perlu dilakukan dengan cepat sebab semua pendaki perlu turun dari Everest sebelum 28 Mei ini kerana mulai 29 Mei mereka akan tutup (pendakian Everest) atas faktor keselamatan. Maka kita perlu tindakan segera,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Chef De Mission ME2023 Tan Sri Salleh Mohd Nor dan Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri Datuk Mohammad Ali Selamat.

Advertisements

Ditanya sama ada tempoh misi SAR itu dilanjutkan selepas tarikh berkenaan, Nagulendran berkata, setakat ini kerajaan akan mematuhi notis penutupan aktiviti di pergunungan itu yang dikeluarkan kerajaan Nepal atas faktor keselamatan, namun beliau yakin Muhammad Hawari akan berjaya ditemukan sebelum tarikh itu.

“Kita tidak mahu membahayakan lebih banyak nyawa sekiranya kita meneruskan misi pencarian selepas tarikh 29 Mei,” katanya yang berharap misi pencarian Muhammad Hawari berjaya dan boleh dibawa pulang ke tanah air dalam keadaan yang selamat.

Selain itu, beliau yang mewakili KBS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacob yang meninggal dunia dalam misi ME2023.

“Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri sedang dalam usaha membawa pulang jenazah dalam masa terdekat selepas proses menurunkan jenazah selesai sepenuhnya di Kathmandu,” katanya.

Sementara itu, Salleh berkata faktor cuaca, suhu yang sejuk dan kurang oksigen di kawasan Gunung Everest yang beraltitud tinggi menjadi cabaran utama dalam misi SAR pada kali ini.

“Kita bimbang kerana kawasan itu juga mempunyai banyak bongkah ais yang berbahaya dan sekiranya terjatuh (dalam rekahan bongkah ais) maka, misi SAR itu akan menjadi amat sukar… kadar oksigen yang rendah juga boleh menyebabkan keadaan halusinasi kepada pendaki,”katanya. -BERNAMA

Advertisements

Terkini

Maritim Malaysia kesan kapal terlibat pelanggaran hilangkan diri

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang mengesan salah sebuah daripada dua kapal dagang yang terlibat dalam pelanggaran di 25 batu...

Lagi Artikel Berkaitan