KEGAGALAN skuad bawah 22 tahun (B-22) Kemboja ke peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kemboja 2023 menandakan berakhirnya era kejurulatihan lagenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda di negara itu.
Hadir ke Kemboja pada 2018 dengan misi mengubah landskap bola sepak di negara itu, pemergian Honda amat dirasai peminat.
Ini selepas bekas pemain AC Milan itu berjaya menerapkan corak permainan moden dan kreatif sepanjang lima tahun berada di negara berkenaan.
Sepanjang di Sukan SEA, Kemboja berjaya merekodkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan untuk berada di tangga ketiga Kumpulan A.
Perlawanan terakhir di bawah kendalian Honda menyaksikan Kemboja tewas kepada pasukan lebih baik, Indonesia dengan keputusan 2-1.
Honda menerusi Facebook hari ini mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC) kerana memberinya peluang mengendalikan pasukan kebangsaan dan skuad B-22 di Sukan SEA.
“Saya tahu projek bersama pasukan kebangsaan Kemboja berakhir malam tadi. Kami mahu membuatkan anda semua gembira dengan keputusan yang bagus tetapi gagal melakukannya.
“Anda (penyokong) semua adalah kekuatan dan harapan saya. Itulah sebabnya saya meneruskan projek ini sehingga ke akhirnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segalanya sepanjang lima tahun ini. anda berikan saya dan semua pemain banyak perkara. Saya bangga dengan anda semua. Pasang impian dan kejarlah impian,” katanya. – Edisi 9