24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Dua syarikat bas ekspres digantung lesen

Mesti Baca

DUA syarikat bas ekspres digantung lesen pengendalian pengangkutan kerana tidak mematuhi keperluan syarat berkanun sepertimana ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Kementerian Pengangkutan berkata, syarikat terbabit ialah syarikat SV Juta Sdn Bhd yang digantung selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen APAD 2010 (Akta 715) iaitu kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Menurutnya, syarikat tersebut merupakan pengendali bas Starmart Express yang berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 12 Mei lalu.

Satu lagi syarikat ialah Kejora Masyhur Sdn Bhd pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti mana senarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia susulan kejadian bas kendaliannya, TRA Express terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di KM 257.8 Lebuh Raya PLUS arah selatan pada 13 Mei lalu.

“Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Siasatan yang melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah MOT (Kementerian Pengangkutan) telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian itu berkata, semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat tersebut turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

Advertisements

Katanya, tindakan pergantungan lesen pengendali dua syarikat itu akan berkuat kuasa mulai 12 Jun dan sepanjang tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan.

“Dalam usaha memastikan aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan, pihak MOT akan mengarahkan agensi-agensi di bawahnya untuk menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.

“Kementerian berharap tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” katanya.

Dalam kejadian membabitkan Starmart Express, seorang lelaki tersepit selepas kereta Proton Saga yang dipandu dirempuh sebuah bas sebelum merempuh 11 buah kenderaan lain di laluan Terowong Menora ke Kuala Kangsar di Lebuh Raya PLUS dekat Kuala Kangsar, Perak.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan yang berlaku pukul 4.15 petang itu berpunca daripada kecuaian pemandu bas mengawal kenderaan sebelum merempuh kenderaan lain di hadapan.

Sementara kejadian membabitkan bas TRA Express pula, bas tersebut mengundur sejauh 700 meter ketika mendaki bukit untuk memasuki Terowong Menora setelah gagal memotong.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat iaitu bas berkenaan bersama dua treler sekitar jam 2.20 pagi itu mengakibatkan 14 penumpang serta pemandu bas itu cedera ringan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan